SANGKAR ARNAB TERBAIK
Nota malam.
Tidak kira apa jenis penternakan komersial, penyediaan kandang merupakan CAPEX yang paling tinggi untuk memulakan penternakan.
Begitu juga arnab. Berikut perkara yang anda perlu fikirkan sebelum membina kandang arnab komersial
1- Praktikal – kandang dan sangkar arnab hendaklah mudah diselenggara.
Sangat penting untuk mempercepatkan kerja-kerja asas dan rutin seperti memberi makan, pembersihan tinja, disinfeksi sangkar, 'maintenance' dan pengurusan arnab. Jangan lupa keselamatan pekerja juga penting.
Selalunya penternak dilema antara ruang dan mudah selenggara. Sangkar bertingkat memastikan lebih banyak kapasiti arnab yang boleh diletakkan dalam satu kandang.
Namun kerja-kerja penyelengaraan sangkar bertingkat juga mencabar. Jika menggunakan sangkar bertingkat, kena juga pastikan kandang tidak overcrowded.
Sangkar arnab paling ideal diperbuat dari bahan yang mudah di disinfeksi seperti galvanize wire atau stainless steel.
Lantai kandang boleh sahaja tanah ataupun simen. Jika pembersihan dilakukan secara manual, lantai tanah lebih mudah diselenggara dan hanya perlu dibersihkan beberapa minggu sekali sahaja.
Jika menggunakan lantai simen, sistem parit kandang hendaklah memudahkan pembersihan kandang setiap hari.
2- Sirkulasi dan Ventilasi – bercakap tentang overcrowded, ia berkait rapat dengan sirkulasi udara.
Sirkulasi udara membantu perlepasan ammonia serta kawalan suhu badan arnab. Arnab melepaskan haba dengan evaporasi air melalui pernafasan. Sirkulasi udara di dalam kandang membantu arnab mengimbangi suhu badan terutama dalam keadaan udara yang lembap.
Ventilasi yang baik mengelakkan keracunan ammonia kepada arnab. Jika anda boleh hidu bauan tinja arnab, bauan tersebut sebenarnya sudah 5 kali ganda lebih memudaratkan arnab sendiri.
Ammonia punca segala masalah kesihatan arnab terutamanya kepada ‘breeding doe’. Selalunya kematian arnab di ladang komersial berkaitan dengan keracunan ammonia. Ammonia menyebabkan keradangan salur pernafasan.
Mengawal kadar kelembapan dalam kandang perkara yang ‘tricky’. Selalunya kita struggle antara suhu dan kelembapan. Kita digalakkan menanam pokok disekitar kandang untuk menurunkan suhu sekitar, dalam masa yang sama, pokok-pokok ini juga meningkatkan kelembapan.
Suhu melebihi 30°C mengurangkan kadar fertiliti dan tumbesaran arnab, manakala kelembapan yang tinggi pula memudahkan pembiakan penyakit. Sirkulasi dan ventilasi kandang memastikan tahap kelembapan terkawal dan mengurangkan kesan ammonia serta mengekalkan suhu yang selesa untuk arnab.
3- Suhu – mengekalkan suhu yang selesa untuk arnab.
Suhu dalam kandang merupakan fokus utama dalam ladang arnab.
Kita semua tahu arnab bukan penduduk asal iklim khatulistiwa. Namun haiwan istimewa ini sangat mudah menyesuaikan diri dalam persekitaran baru.
Arnab sebenarnya boleh sahaja hidup dalam keadaan suhu yang tidak selesa namun kadar kesuburannya akan menurun. Kadar tumbesaran juga terbantut.
Jika di negara Eropah mereka boleh capai berat 2kg seawal 2 bulan, di Malaysia mengambil masa lebih lama untuk capai berat tersebut.
Suhu paling ideal untuk arnab ialah suhu sederhana 16°C ke 26°C. Arnab masih boleh tolerate suhu sehingga 33°C, tapi prestasi keseluruhan arnab akan menurun.
Comments
Post a Comment